News Update :

Usah kira siapa calon Dun Sungai Limau

Monday 21 October 2013

ALOR STAR: PAS harus mempertahan Dun Sungai Limau tanpa mengira siapa calon yang diketengahkan pada pilihan raya kecil itu 4 November ini.
Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu berkata, semua jentera parti sama ada dari Pusat mahupun negeri wajar memberi tumpuan sepenuhnya supaya kawasan itu tidak jatuh ke tangan pihak lawan.
“Jika kalah di Dun Sungai Limau, jangan mimpi nak ambil alih semula Kedah,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-34 Pas kawasan Alor Setar baru-baru ini.

Menurutnya, seluruh jentera termasuk sayap parti akan berkampung di Dun Sungai Limau bagi memastikan kawasan yang dianggap tradisi PAS itu kekal milik parti itu.
“Sekali dua ada bertukar tangan antara PAS dan BN tetapi PAS lebih banyak menang di kawasan itu. Selepas lima penggal Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak mempertahan kawasan itu, wajar untuk kita berjuang berhabis-habisan teruskan tradisi itu,” kata-nya.
Mohamad Sabu juga menyatakan keyakinan terhadap pengundi Cina di kawasan itu yang dilihat memihak kepada Pakatan Rakyat, walaupun calon diketengahkan adalah dari PAS.
“Jentera PAS perlu bersedia mental dan fizikal untuk PRK ini, kerana PAS umpama berdepan dengan sebuah kerajaan,” katanya lagi.
Beliau mengakui kempen kali ini bukan mudah namun, PAS kerana partinya harus berdepan dengan cabaran dan serangan pihak lawan (BN) dari pelbagai medium, media massa dan jentera kerajaan.
Selain itu, Mohamad Sabu juga mengingatkan bahawa BN hanya akan menjadi pilihan rakyat pada PRU14 sekiranya Pakatan Rakyat berpecah belah.
Sehubungan itu, beliau mahu setiap entiti dalam Pakatan Rakyat terus sentiasa bersatu.
“Jika Umno fikir begitu, sudah tentu mereka lebih tahu situasi sebenar kerana mereka ada pakar dan penyelidik. Usaha untuk mereka terus berkuasa ialah pecah belahkan Pakatan,” katanya.
Mohamad Sabu turut mengingatkan ahli supaya mencari pendekatan untuk membina semula sokongan orang Melayu terhadap Pakatan Rakyat dalam tempoh empat tahun sebelum PRU14.
“Sokongan orang Cina sudah tiada masalah. Kena tumpu sokongan Melayu pula, jika meningkat hingga tujuh peratus pun saya percaya kita sudah mampu tawan Putrajaya,” katanya.
Share this Article on :

0 comments:

Post a Comment

 

© Copyright AR - RISALAH 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.