News Update :

Tagih semangat pengorbanan ahli PAS

Monday 21 October 2013

JERAI: Para petugas diseru menggandingkan semangat pengorbanan dan semangat hijrah dalam menempuh cabaran Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun N20 Sungai Limau.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Mahfuz Omar berkata, gandingan semangat demikian adalah ke arah membawa pembaharuan masa depan perjuangan PAS menegakkan agama Allah dan mengembalikan PAS ke persada politik kuasa.
Jelas beliau, lonjakan untuk PAS Kedah kembali ke tampuk itu bermula dengan semangat pengorbanan dan hijrah mempertahankan kemenangan Dun Sungai Limau.

“Jangan anggap mudah kita boleh menang dengan rekod lima penggal yang pernah dimenangi.
Kita bukan akan berdepan Jentera BN, mereka hanya ada pada hari mengundi. Kita akan berdepan agensi kerajaan yang mereka itu dipaksa. Sebab itu kita kena berhabis-habisan.
“Terjemahkan semangat korban (Aidiladha) dengan penuh kesungguhan supaya kita melangkah ke tahun Hijrah (Muharram) yakni sehari selepas mengundi, kita akan sambut pula tahun baru Hijrah dengan kemenangan,” ujarnya pada majlis Korban Perdana PAS Kedah di Bukit Besar, di sini 16 Oktober lalu.
Sebanyak enam ekor lembu dikorbankan pada majlis itu, manakala lapan ekor lagi diserahkan untuk majlis di beberapa Unit Peti Undi (UPU) dalam Dun Sungai Limau.
Terdahulu, Mahfuz telah mengadakan lawatan ke UPUUPU tersebut dengan diiringi Pengarah Operasi PRK N.20 Sungai Limau, Dato’ Ir Amiruddin Hamzah dan Ketua Pemuda PAS Kawasan Jerai, Ustaz Mohd Azam Abd Samat melihat aktiviti korban yang diadakan. Ujar beliau, ibadah korban bukan terletak kepada penyembelihan ternakan dan agihan dagingnya.
Sebaliknya tambah Mahfuz, lebih utama ialah penghayatan kepada makna pengorbanan itu dengan menterjemahkannya dalam kehidupan seharian dan perjuangan menegakkan agama Allah.
Beliau mengajak untuk merenung pengorbanan Nabi Allah Ibrahim AS dan isterinya, Hajar serta anak mereka Nabi Ismail AS dalam mempersembahkan nilai tauhid yang tinggi kepada Allah SWT.
Katanya, dalam menyempurnakan ibadah dan ketaatan kepada Allah, keluarga Nabi Ibrahim telah memberikan segala pengorbanan termasuk yang paling mereka sayangi.
“Inilah (makna) ibadah korban. Ibadah korban bukan setakat rebus daging cicah air asam. Tetapi apa yang boleh kita beri dan paling kita sayang dalam hidup.
“Ini perlu dihayati apatah lagi saat kita sedang hadapi PRK ini. Tempoh ini sangat penting untuk kita terjemahkan dalam perjuangan jihad kita,” ujar Mahfuz menyuntik semangat.
Dalam pada itu, Mahfuz juga mengakui tidak mudah untuk menghadapi BN dalam PRK Sungai Limau.
Namun beliau meyakini pengalaman dan keupayaan jentera akar umbi PAS yang telah memegang rekod kemenangan lima penggal berturut-turut di situ.
“Apatah lagi di saat BN akan tunjukkan komitmen tinggi untuk dapatkan Sungai Limau.
Sudah tentu BN mempunyai pemerhatian serius melihat sebab-sebab mereka tidak menang (selama ini).
“Mereka (BN) akan berusaha mendapatkannya untuk perkukuh kedudukan mereka.
Tetapi kita (PAS) baru beberapa bulan lepasi PRU dengan data dan maklumat cukup lengkap untuk hadapi PRK ini. Kita sedia hadapi BN!” ujarnya lagi.
“Rakyat juga tidak perlu bimbang tidak dapat pembangunan, kerana kerajaan ini apapun keputusannya (PRK Sungai Limau) kerajaan ini tidak tergugat. Mukhriz tidak perlu gusar,” jelas Mahfuz.
Beliau juga menyeru pengundi Umno boleh memberi undi mereka kepada PAS sebagai signal bahawa mereka kesal dengan janji sebelum PRU bahawa BN tidak akan memberi bebanan kepada rakyat.
Sebaliknya tambah beliau selepas itu rakyat tetap menanggung kesan kenaikan harga barang.
Diminta mengulas mengenai lapan nama anak tempatan yang disebut-sebut bakal menjadi calon pada PRK tersebut, Mahfuz mengakui sukar untuk PAS membuat memilih kerana semua calon tersebut mempunyai kehebatan masing-masing dan PAS akan membuat pilihan terbaik.
Maklumnya, pengumuman rasmi hanya akan dibuat pada satu majlis pengisytiharan pada 21 Oktober ini.
“Bukan mereka nak (jadi calon), tetapi mereka dilihat layak (oleh orang ramai). Satu kelainan, mereka ini dari gandingan pelbagai latar belakang dan ia akan dipilih berdasarkan penelitian dibuat parti,” terang Mahfuz.
Share this Article on :

0 comments:

Post a Comment

 

© Copyright AR - RISALAH 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.