Oleh Ustaz Idris bin Sulaiman (Ahli Syura Ilmuwan Malaysia)
WUDUK
adalah perbuatan menggunakan air untuk membasuh anggota badan tertentu
dengan niat untuk mengangkat hadas. Adapun wuduk dengan difathahkah
huruf waw, yang dimaksudkan dengannya adalah air yang digunakan untuk
wuduk.
Al-Hafiz Ibnu Hajr rahimahullah berkata,
“Perkataan wuduk diambil daripada pecahan perkataan al-wadha-ah yang
bererti bercahaya. Ia dinamakan demikian kerana orang yang mengerjakan
solat menyucikan dirinya (dengan wuduk) sehingga menjadi bercahaya.”
Hal yang semakna dengannya disebutkan juga oleh Imam Al-Syaukaani rahimahullah dalam Nailul Authar, Bab Sifat wuduk.
Keutamaan wuduk
1. Cahaya pada hari kiamat. Orang yang berwuduk sempurna akan mendapat
cahaya pada wajah, hujung kedua tangan dan kedua kakinya pada hari
kiamat kesan daripada dia berwuduk ketika di dunia.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari
kiamat dalam keadaan wajah dan hujung kedua anggota tangan dan kaki
mereka bercahaya hasil daripada kesan-kesan wuduk.” (Bukhari Muslim)
Apabila dikatakan umatku atau umat Nabi Muhammad, ia membawa dua maksud;
1. Umat Al-Dakwah (umat yang diseru yakni seluruh manusia), 2. Umat Al-Ijabah (umat yang menerima seruan yakni kaum Muslimin).
Yang dimaksudkan dengan umatku dalam hadis ini adalah umat Al-Ijabah
iaitu umat Islam yang telah menerima dakwah Nabi Muhammad.
Pada hari akhirat kelak, mereka ini yang akan diseru dan mereka akan
datang dalam keadaan wajah serta hujung kedua tangan dan kaki mereka
bercahaya kerana hasil daripada ibadah wuduk yang mereka kerjakan ketika
di dunia. Kesan anggota badan yang telah dibasuh atau disapu untuk
wuduk itu akan menjadi tanda umat Nabi Muhammad pada hari kiamat kelak.
Manusia pada hari kiamat tidak memakai tanda nama yang menunjukkan
mereka Muslim, tetapi cahaya kesan daripada wuduk ini menjadi tanda yang
tidak boleh dipalsukan.
Dengan cahaya-cahaya ini umat Nabi
Muhammad dikenali pada hari kiamat. Umat yang lain, jauh sekali orang
kafir, mereka tidak ada cahaya ini.
2. Setengah daripada
iman. Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Bersuci (berwuduk) adalah
setengah daripada iman.” (Riwayat Muslim)
3. Menghapuskan
dosa kecil dan meninggikan darjat. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Apabila
seorang hamba Muslim itu berwuduk dan dia membasuh wajahnya, maka
keluarlah semua kesalahan-kesalahan hasil daripada pandangan matanya
bersama air sehinggalah ke titisan air yang terakhir.
Dan
apabila dia membasuh kedua tangannya, maka keluarlah dari tangannya
semua kesalahan yang dilakukan kedua tangan itu bersama air sehinggalah
titisan air yang terakhir. Dan apabila dia membasuh kedua kakinya,
keluarlah semua kesalahan kaki yang telah digunakan untuk berjalan
bersama air sehinggalah ke titisan air yang terakhir. Sehinggalah
akhirnya dia keluar (selesai wuduk) dalam keadaan dia suci daripada
dosa-dosa.” (Riwayat Muslim)
Uthman RA berkata, “Aku melihat
Rasulullah SAW berwuduk seperti wudukku ini, kemudian Baginda bersabda:
“Barang siapa berwuduk seperti wudukku ini maka diampuni dosa-dosanya
yang telah lalu. Manakala solat dan langkah kakinya menuju masjid
menjadi tambahan (pahala).” (Muslim)
Rasulullah SAW bersabda,
“Tidaklah seorang Muslim berwuduk dengan membaguskan wuduknya lalu
mengerjakan solat, melainkan ALLAH akan mengampuninya antara solat itu
dan solat berikutnya.” (Bukhari dan Muslim)
Daripada Abu Hurairah
RA, Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah kalian aku tunjukkan sesuatu yang
dengannya ALLAH akan menghapus kesalahan dan mengangkat darjat?”
Mereka menjawab, “Tentu, wahai Rasulullah".
Baginda bersabda,
“Menyempurnakan wuduk pada keadaan yang dibenci (misalnya keadaan
sangat sejuk), banyak berjalan ke masjid, dan menunggu solat berikutnya
setelah solat. Maka itulah ribath, itulah ribath.” (Riwayat Muslim)
Ribath adalah amalan berjaga di daerah perbatasan antara daerah kaum
Muslimin dengan daerah musuh. Maksudnya pahala amalan tersebut disamakan
dengan pahala orang yang melakukan ribath.
4. Wuduk adalah
amalan yang membawa ke syurga. Daripada Umar RA, Rasulullah SAW
bersabda: “Tidaklah seseorang daripada kalian berwuduk secara sempurna
lalu mengucapkan: Asy-hadu an laa ilaaha illallah wahduu laa syarika
lah wa asy-hadu anna Muhammadan ‘abduhu wa rasuuluh (Aku bersaksi
bahawa tiada Tuhan kecuali ALLAH semata yang tiada sekutu bagiNya dan
bahawa Muhammad adalah hamba dan utusanNya) melainkan kelak akan
dibukakan untuknya lapan pintu syurga yang kepadanya dipersilakan untuk
masuk melalui pintu mana saja yang dia sukai.” (Riwayat Muslim)
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW berkata kepada Bilal RA setelah solat
fajar: “Sesungguhnya aku mendengar suara terompahmu di hadapanku di
syurga.” Bilal berkata, “Tidaklah aku mengamalkan suatu amalan yang
lebih aku harapkan di sisiku, melainkan berwuduk pada malam atau siang
hari dan terus mengerjakan solat yang dapat aku lakukan setelah itu.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis disebutkan ini menunjukkan
kelebihan wuduk. Keutamaan ini hanya dimiliki apabila wuduk dilakukan
secara sempurna. Kesempurnaan wuduk ini tentu dikembalikan kepada dua
syarat diterima ibadah secara mutlak; iaitu ikhlas kerana ALLAH, dan
ittiba (mengikuti contoh daripada Rasulullah SAW), sebagaimana sabda
Baginda: “Sesiapa yang berwuduk seperti wudukku ini, nescaya dosanya
yang telah lalu akan diampuni.” (Riwayat Muslim)
Maka
wajarlah kita mempelajari serta mengerjakan wuduk itu dengan sebaik dan
sesempurna mungkin. Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang
mendapat fadilat ini.
Perkara mewajibkan wuduk
Ibadah wuduk hanya diwajibkan dalam dua keadaan;
1. Solat. Wuduk adalah di antara syarat sah solat, di mana solat
adalah ibadah yang paling utama bahkan ibadah pertama yang akan disoal
kepada seseorang itu pada hari akhirat kelak.
Sekiranya
solatnya diterima dan baik maka baiklah seluruh amalannya, mudahlah
urusannya yang berikut. Adapun jika solatnya tidak baik maka sukarlah
perjalanan yang akan dihadapi selepas itu di Padang Mahsyar kelak.
Wuduk menjadi syarat sah untuk apa jua solat yang ingin dikerjakan, baik solat fardu mahupun solat sunat."
Hal ini sepertimana keumuman firman ALLAH SWT: “Wahai orang beriman,
apabila kamu bangkit untuk solat maka basuhlah wajah kamu, dan kedua
tangan kamu sehingga ke siku, dan sapulah kepala kamu, dan kedua kaki
kamu sehingga dua buku lali.” (Surah Al-Maaidah: 6)
Antara
hadis Nabi Muhammad SAW mengenai wuduk sebagai syarat sah untuk solat
adalah Baginda SAW bersabda: “Tidak akan diterima solat seseorang yang
berhadas sehingga dia berwuduk.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Seseorang yang mengerjakan solat dalam keadaan berhadas maka solatnya
tidak diterima sehingga dia mengangkat hadas tersebut dengan berwuduk.
Bahkan kalau dia sengaja solat tanpa wuduk, dia berdosa kerana solat
dalam keadaan tidak suci (berhadas).
Hadas adalah satu sifat
berbentuk hukum, di mana keberadaan hadas menyebabkan ibadah yang
disyaratkan taharah (bersuci) menjadi tertolak. Jika seseorang
melakukan juga ibadah yang disyaratkan taharah dalam keadaan berhadas,
maka ibadah itu tidak diterima dan tidak sah.
2. Tawaf di
Baitullah Al-Haram. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang
bermaksud: “Tawaf di Baitullah sama seperti solat, kecuali ALLAH
membolehkan berbicara di dalamnya.” (Sahih. Riwayat At-Tirmidzi)
Hanya dalam dua keadaan ini sahaja kita diwajibkan berwuduk.
Bagaimanapun, umat Islam disunnahkan untuk sentiasa dalam keadaan
berwuduk demi meraih kebaikan yang boleh diperoleh kesan daripada ibadah
wuduk tersebut.
Bahkan Rasulullah SAW tidak berzikir yakni
menyebut nama ALLAH kecuali dalam keadaan Baginda berwuduk. Dan kita
dituntut untuk sentiasa mengingati ALLAH dalam setiap keadaan.
Ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Al-Muhajir bin
Qunfudz ra, dia pernah mendatangi Nabi Muhammad SAW ketika Baginda SAW
sedang buang air kecil.
Dia mengucap salam kepada Baginda
SAW namun Baginda tidak menjawab salamnya sehingga Baginda berwuduk
lalu Baginda SAW berkata, “Sungguh aku tidak suka menyebut nama ALLAH
melainkan dalam keadaan bersuci.” (Sahih. Abu Daud)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment