News Update :

Pastikan Dun Sg Limau milik PAS

Tuesday 22 October 2013


PAS tetap akan mempertahankan Dun Sg Limau. Paling tidak, ia akan kekal dengan 9 kerusi dalam Dun Kedah. Ini dapat membantu PAS memainkan peranan penting setiap kali persidangan Dun. Selain isu tempatan, isu-isu nasional turut berperanan membantu PAS menang. Ikuti pandangan Pengarah Operasi PRK Dun Sg Limau, Dato' Ir Amiruddin Hamzah ketika diwawancara Wartawan Kanan Harakah, AZIZ MUDA pada 12 Oktober lalu.



HARAKAH: Mampukah PAS akan mempertahankan Dun Sungai Limau dalam PRK 4 November ini?


DATO' IR AMIRUDDIN HAMZAH: Insya Allah. Berdasarkan track rekod kita daripada 13 kali pilihanraya lalu, kita akan dapat pertahankan Dun Sungai Limau ini dalam PRK 4 November nanti.
Dulu Dun Sungai Limau ini dikenali sebagai Dun Sala. Daripada 13 kali pilihanraya, PAS menang 9 kali termasuk sekali ketika kita berada dalam BN tahun 1974. Masa kita bersama BN tahun 1974 dulu, Tok Guru Yahya Junid yang menjadi calon.
Pada tahun 1959, Perikatan yang menang. Pada tahun 1964 BN menang. Dalam pilihanraya tahun 1978, walaupun kita dah keluar BN, kita menang juga. Allahyarham (Tan Seri) Ustaz Azizan (Abdul Razak) menang sejak 1995, 1999, 2004, 2008, 2013.
Dalam PRU13 lalu, Ustaz Azizan menang dengan majoriti 2,774 undi. Berdasarkan rekod tersebut dan rekod lepas, insya Allah, kita masuk PRK pada 4 November nanti dengan azam untuk mempertahankan Dun Sungai Limau.


Pola undi macam mana? Meningkat atau menurun?

Kita akan berusaha tingkatkan lagi undi. Walaupun kita tahu, dalam PRK, BN akan turun macam-macam benda, seluruh jentera nasional di pelbagai tempat, umpan projek, umpan duit, kebendaan... cukup tinggi.
Tetapi kita akan berusaha ke arah itu dengan andaian perkara-perkara tersebut adalah minima. PAS akan masuk pilihanraya dengan strategi. Pertamanya, merayu pengundi supaya meneruskan legasi yang telah ditinggalkan oleh allahyarham Ustaz Azizan.
Kedua, kita akan maklumkan kepada rakyat, janji BN, seperti janji minyak tak akan naik, tak akan ditepati oleh BN. Selepas pilihanraya, minyak turut dinaikkan. GST pun turut dilaksanakan. Begitu juga dengan program kebajikan yang kita buat dulu, kini telah dihentikan oleh BN setelah BN memerintah kembali. BN tak akan tunaikan janji-janjinya kepada rakyat.
Jadi tak ada sebab rakyat tak beri undi kepada PAS. Walaupun memberikan undi kepada kita itu tak akan beri kesan bagi pertukaran kerajaan, tapi sikap BN yang tak tunai janji itu pasti akan diingati oleh rakyat.


Banyak faktor yang akan memihak kepada PAS. Isu di peringkat nasional juga tentu boleh membantu pihak PAS. Contohnya kenaikan harga minyak...


Kenaikan itu satu hal, tapi kesan kenaikan itu pasti amat dirasai oleh rakyat. Apa yang dapat dilihat oleh rakyat, Dato' Seri Najib (Tun Razak) sendiri sebelum PRU janji harga minyak tak akan dinaikkan, tapi setelah menang, harga minyak telah dinaikkan.
Walaupun Ahmad Maslan kata, kerajaan tak naikkan harga minyak, tetapi hanya kurangkan subsidi, ini semua hanya hendak putarbelit dan hendak perbodohkan rakyat sahaja.
Mereka hanya bermain dengan kata-kata, pada hal sama sahaja menaikkan harga minyak dengan mengurangkan subsidi. Kita akan ingatkan kepada rakyat, walaupun BN telah berjanji tak akan menaikkan harga minyak, tetapi mereka tak akan tunaikan janji itu. Apatah lagi dengan perkara yang tak ada dalam janji mereka.


Sekarang harga barangan juga naik. Tak lama lagi harga tepung dan gula. Ini pasti beri impak yang baik kepada PAS jika diolah dengan berkesan.


Kita akan pergi kepada persoalan, apakah maknanya janji BN itu kepada rakyat? Kalau di Kedah, slogannya "BN Menang Rakyat Senang". Apa maknanya slogan itu kepada rakyat?
Ini boleh dilihat sendiri oleh rakyat dengan apa yang berlaku sekarang, dengan kenaikan minyak, kenaikan harga barangan, kenaikan tambang. Jadi boleh senangkah rakyat? Semua ini akan kita olah untuk peringatkan kepada rakyat.
Itulah padahnya jika rakyat termakan dengan janji-janji manis BN. Semuanya bohong. Mereka jelas tak tepati janji mereka dalam pilihanraya. Kita akan pakejkan, Umno-BN memang tak boleh diharapkan.
Malah setelah mereka menarik ISA dan EO, setelah mereka memerintah kembali, mereka balik juga kepada undang-undang itu dengan memperkenalkan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) tahun 1959 pindaan 2013.


Penduduk di Dun Sungai Limau pasti turut tertekan dengan pembiayaan pelajaran anak-anak di IPT...

Bagi mereka yang mempunyai anak yang masuk dan belajar IPTA dan IPTS, ini sudah tentu perkara yang dirasai oleh mereka. Untuk menghadapi PRU13 lalu, Pakatan Rakyat menawarkan pendidikan percuma kepada rakyat.
Isu ini memang akan terkesan kepada mereka yang mempunyai anak yang berpeluang melanjutkan pelajaran di universiti. PTPTN yang dilaksanakan oleh Umno-BN memang turut menghimpit rakyat.
Ini pasti akan lebih dirasai lagi oleh para pesawah dan nelayan yang mempunyai anak yang melanjutkan pelajaran di IPTA dan IPTS. Bagi mereka yang tak terbabit memang mereka tak akan menghayati perkara ini. Malah mereka pasti lebih tertarik dengan tawaran BN untuk menambah RM500 kepada RM1,300 menerima BRIM.
Walaupun Pakatan Rakyat menawarkan pendidikan percuma, ia tak memberikan kesan kepada mereka berbanding pemberian RM500 yang dinaikkan pula kepada RM1,300 oleh BN.
Padahal tawaran Pakatan Rakyat itu memang jauh lebih bermakna kepada rakyat berbanding pemberian wang sebanyak itu daripada BN. Begitu juga dengan kenaikan harga minyak, ia tak akan memberikan kesan kepada mereka yang hanya menggunakan motorsikal kecil dan hanya menunggang di kawasan kampung mereka sahaja.


Isu-isu tempatan di Sungai Limau macam mana?

Di Sungai Limau, saya ingat 80 peratus pengundinya terlibat dengan penanaman padi. Jadi isu petani khususnya penanam padi adalah isu yang utama. Masalah yang dialami oleh pesawah ialah kos mengerjakan atau membuat bendang yang semakin meningkat.
Ini pasti lebih menghimpit mereka dengan kenaikan minyak dan sebagainya. Apatah lagi dengan peningkatan kos benih, racun dan sebagainya. Kenaikan itu pula tak seimbang dengan harga padi.
Subsidi harga padi kekal pada kadar yang sama sejak tahun 1990 hingga sekarang. Sudah 23 tahun berlalu masa tapi subsidi harga padi daripada kerajaan tetap pada kadar yang sama.
Bayangkanlah, minyak dah berapa kali naik, tapi subsidi harga padi masih kekal pada tahap lama sejak 23 tahun lalu. Walaupun kita boleh import padi dari negara luar seperti Thailand, tapi kita mahu penanaman padi di negara ini dijadikan sebagai penanaman strategik.
Sehingga kini, subsidi harga padi daripada kerajaan kekal sebanyak RM248 satu tan. Dalam manifesto kita untuk PRU13 lalu, kita bercadang nak naikkan daripada RM248 kepada RM372.10 satu tan, iaitu kenaikan sebanyak 50 peratus, tetapi tidak dimasukkan ke dalam manifesto kita sebab kita lebih menekankan kepada perkara lain termasuk pendidikan percuma dan perkara yang berkaitan PTPTN.
Dalam menghadapi PRK nanti, kita akan sebut perkara ini kepada para pengundi di Dun Sungai Limau. Sedangkan berdasarkan perkiraan kita, jika kerajaan menaikkan subsidi harga padi, kerajaan hanya perlu menambah RM250 juta sahaja setahun.
Pertambahan sebanyak itu tak banyak jika kita bandingkan dengan masyarakat penanam padi yang berjumlah hampir 2,200 keluarga penanam padi di seluruh negara.
Jika kerajaan tak naikkan kadar subsidi harga padi yang ada sekarang, macam mana para penanam padi hendak keluar daripada kepompong kemiskinan? Sekiranya kadar subsidi harga padi itu dinaikkan seperti yang kita cadangkan itu, hampir 2,200 keluarga penanam padi diseluruh negara akan dapat manfaatnya.


Di kebanyakan tempat, isu calon tempatan turut memainkan peranan penting. Di Sungai Limau macam mana?


Isu calon tempatan memang satu faktor penting bagi mana-mana pilihanraya kecil sekalipun. Ini agak berbeza berbanding di peringkat Parlimen. Begitulah juga untuk Dun Sungai Limau. Tetapi dalam hal ini, kita tak mengalami masalah. PAS memang mempunyai ramai calon tempatan di Sungai Limau. Sekarang kita sudah ada lapan calon.
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri pun sudah sebut perkara ini. PAS akan pilih salah seorang daripada mereka nanti dan calon itu sememangnya anak tempatan.


Kemenangan PAS di Dun Sungai Limau pada PRK kali ini sangat penting, walaupun tak menjadikan PAS dapat memerintah Kedah...


Sama ada PAS memang atau kalah pada 4 November nanti memang tidak memberikan kesan kepada kerajaan negeri sekarang, tapi jika kalah, maruah PAS pasti terjejas. Dun Sungai Limau secara tradisinya adalah kawasan kubu kuat PAS.
Jadi tak wajar sangat kalau kita gagal pertahankan kawasan yang menjadi kubu kuat kita ini, apatah lagi setelah Allahyarham Ustaz Azizan sudah menang di kawasan ini sejak lima kali pilihanraya berturut-turut.

Dun Sungai LImau mesti menang supaya suara rakyat dapat didedangar di dalam Dewan.

Sekarang kita sudah ada 9 kerusi di Dun. Bila Sungai Limau tak ada tinggal 8. Kalau kita menang dalam PRK Dun Sungai Limau 4 November nanti bermakna kita kembali mempunyai 9 kerusi. Dengan itu, lebih banyak isu-isu yang dapat dibangkitkan oleh PAS untuk kepentingan rakyat Kedah keseluruhannya. Saya yakin para pengundi di Dun Sungai Limau sedar dan cukup faham perkara itu.
Satu lagi perkara yang cukup penting adalah sentimen untuk memastikan legasi yang telah ditinggalkan oleh Allahyarham Ustaz Azizan akan dapat diteruskan oleh calon kita itu nanti.
Share this Article on :

0 comments:

Post a Comment

 

© Copyright AR - RISALAH 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.