News Update :

‘BN dah dapat negeri, Sungai Limau beri pada PAS’

Tuesday 22 October 2013

Oleh ZULKIFLI YAHAYA
BERKATA Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada penduduk Sungai Limau, jika calon BN menang jadi wakil rakyat dalam pilihan raya kecil (PRK) nanti maka mudahlah agenda pembangunan dilaksanakan. “Dalam PRU lalu, BN mendapat mandat terajui kerajaan negeri. Jadi alangkah baik jika Dun Sungai Limau juga bagi dekat BN... jika ini berlaku maka mudahlah apa saja urusan nak dilakukan,” ujar Muhyiddin.
Sebelum itu, Menteri Besar Dato’ Seri Mukhriz Mahathir memberitahu rakyat di Sungai Limau bahawa penyertaan BN dalam PRK nanti bukan kerana mahu bersaing dengan sesiapa.
“BN sebenarnya mahu membawa pembangunan, Kerajaan Pusat dan Negeri ditadbir BN, jadi kita nak kongsi hasil negeri BN dengan penduduk Sungai Limau,” kata Mukhriz.

Itulah hujah paling utama mengapa BN mesti menang setiap kali PRK diadakan di negara ini.
Hujah stereotaip itu akan muncul berulang-ulang. Sejak dahulu dan kini entah berapa ribu kali hujah tersebut didengari rakyat.
Kalau kata-kata itu terakam dalam bentuk piring hitam tahun 1960-an dulu, maka sudah hancur rasanya kepingan piring hitam itu lantaran jenuhnya ia diulang-ulang.
Persoalannya, benarkah jika  kerusi Dun tersebut dimenangi pihak pembangkang maka pembangunan tidak boleh disalurkan kepada rakyat?
Dalam konteks di Kedah, kerajaan yang memerintah BN. Yang menaungi di Pusat juga BN.
Bermakna semua pegawai daerah serta rangkaian birokrasinya tertakluk kepada kerajaan yang memerintah. Pegawai Daerah adalah penguasa di daerah, penghulu di mukim dan JKKKP di kampung-kampung serta lorong.
Jika kerajaan mahu membantu rakyat, rangkaian yang ada sudah cukup lengkap untuk menyalurkan bantuan kepada mana-mana rakyat sekalipun. Jadi di mana hujah BN bahawa pembangunan tidak boleh disalur jika wakil rakyat bukan dari BN?
Mustahil pula Adun PAS setelah memenangi kerusi tersebut akan menghalang kerajaan daripada menyalurkan pembangunan untuk rakyat. Wakil rakyat boleh disahkan gila jika dengan sengaja menghalang pembangunan dari mana-mana pihak sekalipun sampai untuk kepada rakyat.
Hujah seperti itu boleh digunapakai oleh BN untuk menghadapi rakyat tahun 1970-an.
Kalau untuk tahun 2013 masih mengguna hujah yang sama, nampaknya bukan pembangunan material yang tidak berkembang tapi pemikiran para pemimpin BN yang tidak pernah berkembang.
Seorang Adun bukanlah pemimpin ‘sebuah kerajaan’ bagi kawasan Dun yang dimenanginya.
Tidak timbul dakwaan bahawa Adun-lah yang membawa masuk pembangunan ke kawasannya.
Dia cuma mewakili rakyat dalam kawasannya untuk hadir bersidang dalam Dun atau forum yang disediakan untuk wakil-wakil rakyat menyuarakan pendapat, membangkitkan perkara-perkara yang mempunyai kepentingan awam, atau berbincang secara terbuka terhadap isu-isu yang menjadi tumpuan rungutan atau masalah rakyat.
Antara tugas utama seorang Adun ialah menjaga hak berperlembagaan negeri dan rakyat seperti yang diperuntukkan oleh perlembagaan negeri. Dia bertanggungjawab mempertimbangkan jenis dan kebaikan perundangan yang dibawa kepada Dewan Undangan Negeri serta mencadangkan pindaan bersesuaian sebagaimana yang difikirkan perlu.
Lagi tugas seorang Adun ialah meluluskan perbekalan, dan memeriksa akaun awam untuk memastikan wang awam dibelanja mengikut kelulusan parlimen dan mengikut kepentingan pembayar cukai. Memberi khidmat kepada Kerajaan Eksekutif dan menjadi arena tumpuan bagi memeriksa dan mengkritik dasar-dasar dan pelaksanaan rancangan-rancangan kerajaan.
Maka dalam konteks PRK Sungai Limau, mandat tidak perlu diberi oleh pengundi di situ kepada calon BN kerana beberapa sebab:
Pertama, Kerajaan BN sudah sah memerintah Kedah. Penambahan kerusi BN tidak mengubah apa-apa dari status pentadbiran mereka. Sebaliknya pertambahan kerusi menyebabkan BN bertambah bongkak dan lumrahnya pihak yang bongkak sukar mendengar pandangan rakyat.
Kedua, kerajaan yang baik perlu dipantau dan dimuhasabah. Kemenangan PAS bermakna kerusi pembangkang bertambah dan bertambahlah suara yang memantau kerajaan demi kebaikan rakyat. Jika BN yang menang jangan harap Adun tersebut berani menegur kerajaan.
Ketiga, jika Sungai Limau berada di tangan pembangkang, maka BN sebagai kerajaan akan berusaha merampasnya untuk PRU14 nanti. Maka rakyat akan mendapat pelbagai nikmat pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan dalam usaha memenangi hati rakyat.
Keempat, PRK Sungai Limau menjadi fokus seluruh negara. Jika PAS menang, ia menghantar mesej kepada kerajaan BN di pusat supaya jangan sewenangwenangnya membuat keputusan yang merugikan rakyat. Misalnya, jangan sewenangnya menaikkan harga minyak yang menyebabkan harga barangan turut melonjak. Dengan memilih PAS bermakna pengundi Sungai Limau telah berjasa kepada seluruh rakyat Malaysia.
Kelima, dua buah parti yang kuat dan bersaing di Kedah di kalangan orang Melayu ialah Umno dan PAS. Kedua-duanya parti terdiri daripada majoriti orang Melayu beragama Islam.
Kepada golongan atas pagar atau yang tidak berparti, eloklah meraikan kedua-duanya. Umno sudah diberi sebuah negeri, maka wajar sangatlah Sungai Limau (cuma sebuah Dun diberi kepada PAS.
Share this Article on :

0 comments:

Post a Comment

 

© Copyright AR - RISALAH 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.