Sejak negara mengadakan pilihanraya, Sg Limau adalah sinonim dengan PAS. Negara telah mengadakan pilihanraya sebanyak 13 kali dan PAS telah berjaya di kawasan ini sebanyak 9 kali sementara UMNO memenangi kawasan ini hanya 4 kali.
Sekarang ini PAS merupakan penyandang kepada kerusi ini, dan pilihanraya kali ini ramai yang masih beranggapan yang PAS akan tetap memenangi kerusi ini walaupun dengan majoriti yang lebh mengecil.
Dalam pilihanraya 2013, Allahyarham Tan Sri Uztaz Azizan telah mengalahkan lawannya dengan majoriti undi sebanyak 2774.
Jika di nilai dari untung ruginya memenangi kerusi ini, kedua-dua belah
pihak tidak menokok dan mengurangkan tahap kehadiran parti
masing-masing. Kemenangan PAS di sini tidak menambah apa-apa, sekadar
menunjukkan bahawa PAS tetap mempunyai pengaruh dan sokongan di kawasan
ini. BN tetap menjadi kerajaan negeri Kedah. Kemenangan BN sekadar
menunjukkan pada ramai yang Mukhriz mempunyai sedikit ‘consequence’
kerana beliau baru sahaja mengetuai kerajaan BN selepas PRU yang lalu.
Kalau BN kalah di kawasan ini UMNO tetap berkuasa ke atas kerajaan
negeri itu.
Dalam pilihanraya ini masih lagi peperangan ego yang besar dan segala
usaha yang di sebutkan oleh setengah pihak akan ada perpaduan di antara
kedua parti Melayu itu hanya tinggal cerita dongeng semata-mata. PRU ini
masih lagi di tahap ‘siapa kuat dia menang’ tetapi tidak nampak unsur
untuk meningkatkan perpaduan di antara kedua-dua belah pihak. Tidak ada
lagi unsur yang boleh meyakinkan kita yang kedua-dua belah pihak mahu
menjalin kerjasama yang baik dan telus untuk kepentingan umat melayu
yang masing-masing bersetuju sedang dalam kegelapan.
Hakikatnya apa dan siapa sahaja yang memenangi kerusi ini tidak membawa
apa keuntungan kepada sesiapa. Calon UMNO (BN) berdepan dengan media
dengan begitu kerap memberikan segala perancangan beliau untuk kawasan
ini. Kata-kata itu sememangnya kata-kata biasa dalam mana-mana
pilihanraya. Maudhuknya tetap menjanjikan kemudahan asas dan pembangunan
ekonomi dan sebagainya. Ini kita dengar dalam setiap pilihanraya sejak
dari dulu lagi tetapi kawasan-kawasan itu masih lagi tidak mempunyai
cukup pembangunan.
Sudah 56 tahun merdeka, keadaan Melayu Islam tetap sama sedangkan
janji-janji dalam setiap pilihanraya adalah janji yang sama. Seandainya
janji setiap calon BN dilaksanakan sejak merdeka dahulu, masakan negeri
Kedah tetap sebuah negeri yang miskin berbanding dengan negeri-negeri
lain? Kedah bukannya miskin sejak PAS memerintah sahaja. Kali ini
berjanji lagi seolah-olah jika mendapat kemenangan semua rakyat dan
pengundi di Sungai Limau itu akan maju dan menyumbang untuk mencapai
matlamat negara maju menjelang 2020.
Baik pemimpin pusat dan negeri apabila berjanji seolah-olah dunia ini
hendak dialihnya. Matahari yang terbit dari timur hendak di terbitkannya
dari barat. Najib berjanji seolah-oleh beliau mampu mengalirkan sungai
dari muara naik kebukit, serta menukar malam menjadi siang dan siang
menjadi malam.
Sesungguhnya pemimpin UMNO yang selama ini meminta PAS menghulurkan
salam persahabatan hanya berada di bibir sahaja tetapi tidak menunjukan
kesungguhannya. PAS dikatakan degil dan sombong oleh UMNO kerana keras
kepala kononnya. Tetapi dalam isu ini PAS tidak boleh dipersalahkan
kerana PAS pernah mengalami di pecat oleh UMNO dan parti itu terkeluar
dari BN suatu ketika dahulu.
Oleh yang demikan jika UMNO yang menyebut dan meminta PAS mengulurkan
salam persahabatan maka UMNO mesti serius dan menunjukan bukti nyata
yang mereka (UMNO) serius meminta PAS bersahabat dan bekerjasama dengan
mereka bagi menjamin kepentingan orng Melayu itu. Jika PAS kekurangan
keyakinan terhadap niat UMNO itu, UMNO perlu tunjukkan bukti kerana PAS
tidak mahu pisang berbuah dua kali.
Bagi saya isu ini timbul selepas PRU yang lalu apabila BN merasakan
yang mereka telah kehilangan sokongan yang jelas dari rakyat.
Pilihanraya Sungai Limau ini sepatutnya menjadi titik permulaan bagi
UMNO untuk menunjukkan bukti keikhlasannya dengan memberikan kerusi ini
secara percuma kepada PAS dan membiarkan PAS untuk mengekalkan kerusi
ini.
Jika ini telah dilakukan oleh UMNO, PAS akan terikat dengan kejujuran
UMNO itu dan tidak akan lagi dapat memberikan alasan yang lain untuk
tidak berkompromi di kalangan umat Melayu ini. Rakyat akan memerhatikan
kejujuran UMNO itu dan PAS pula tidak akan mampu untuk mengeji UMNO di
mana-mana lagi.
UMNO tentunya mendapat markah yang tinggi di mata rakyat dengan
menghantar mesej jelas yang parti itu adalah serius untuk bersatu atau
bekerjasama. Kali ini giliran PAS pula untuk menunjukan keikhlasan.
Memberikan bukti keikhlasan seperti ini tidak akan ada lagi
elemen-elemen yang boleh menggangu gugat penyatuan kedua-dua parti ini,
dan yang tinggal hanyalah interaksi di antara pemimpin-pemimpin
kedua-dua parti untuk menyempurnakan matlamat baik itu.
Tetapi untuk melakukan kerja baik seperti ini akan mendapat halangan
pihak-pihak dan individu yang tidak mahu kerjasama ini terlaksana. Ini
di sebabkan selalunya perpaduan itu akan membunuh politik mereka yang
berpentingan peribadi dikalangan parti-parti itu.
Individu dan pihak-pihak ini mungkin berada dalam PAS dan UMNO sendiri
dan lebih-lebih lagi dari parti-parti komponen BN dan Pakatan Rakyat
sendiri. Penyatuan ini akan membebankan politik setengah pihak dan
individu lain.
Oleh kerana politik kita dipimpin oleh mereka yang bercita-cita besar
tetapi mempunyai jiwa yang kecil dan kenit, melakukan kerja dan perkara
seperti ini merupakan usaha yang tidak munasabah kerana mereka melihat
dalam kontek kepentingan peribadi mereka. Kita mesti ingat ada orang
yang mahu menggunakan perpecahan ini untuk menutupi kelemahan dan
kerendahan moral mereka.
Ada pihak yang tidak inginkan kedua-dua belah pihak Melayu ini bersatu
kerana mereka sedang megelirukan orang Melayu dengan laungan
multiracialism nya. Sebenarnya mereka semata-mata berusaha memecah
belahkan orang Melayu bagi kepentingan kelompok dan kaum mereka
semata-mata.
Apa yang perlu bagi UMNO ialah pemimpin yang berjiwa besar dan
menunjukan betapa seriusnya mereka mahu melihat perpaduan di kalangan
kelompok Melayu Islam yang merupakan kelompok terbesar dalam negara ini.
Yang kita nampak dengan jelas hanya ego berada di antara kedua-dua belah pihak sekarang ini.
0 comments:
Post a Comment